22 Disember 2018 - 18:22
Kehadiran Tentera A.S Di Syria Sejak Awal Salah Dan Tidak Logik

Jurucakap kepada Kementerian Luar Iran, Bahram Ghasemi menganggap kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di Syria adalah salah dan tidak logik sejak awal lagi.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Jurucakap kepada Kementerian Luar Iran, Bahram Ghasemi menganggap kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di Syria adalah salah dan tidak logik sejak awal lagi.

Kenyataan itu dibuat Ghasemi sebagai reaksi terhadap keputusan Presiden AS, Donald Trump untuk memanggil semua angkatan tenteranya yang berada di Syria untuk pulang ke tanah air.

“Kehadiran tentera AS di Syria sejak awal adalah salah dan tidak logik, mengakibatkan ketidakstabilan dan gangguan keselamatan di rantau ini,” katanya menerusi Telegram.

Keberadaan tentera tersebut di bumi Syria tidak mendapat sebarang mandat khusus daripada PBB ataupun kebenaran langsung daripada pihak kerajaan Syria, sekaligus mengundang beberapa kontroversi di peringkat hubungan antarabangsa.

Syria sudah hampir 8 tahun menyaksikan konflik berdarah yang melibatkan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara. Arab Saudi, Amerika Syarikat, Turki dan beberapa negara lain sebelum ini menyokong pihak penentang kerajaan dan kumpulan militan lain dalam rangka menjatuhkan kerajaan Damsyik.

Sementara itu Iran dan Rusia pula membantu pihak kerajaan Damsyik selepas mendapat permintaan daripada pentadbiran Presiden Bashar Assad sendiri. - AFP /Utusan